Monday, July 26, 2010

Fatwa Ajaran Sesat Malaysia

 

· Gerakan Anti Hadith
__________________________________________________________________
1. Kategori : Ibadat
Tajuk :
Hukum Talkin Kepada Mayat
Isu :
Fatwa :


1. Talqin hukumnya adalah sunat dan masa talqin itu ialah semasa ihtidar (hampir mati ) dan atau selepas dikebumikan.

2. Semasa di dalam ihtidar (hampir mati) maka sunat diajarkannya mengucap kalimah syahadah iaitu La Ilaha illallah dan bagi mayat yang telah dikebumikan maka dikata disisi kuburnya, kata olehmu Tuhanku Allah, Agamaku Islam, Nabiku Muhammad S.A.W hingga akhir talqin.

3. Mana-mana orang atau kumpulan orang adalah dilarang –

a) membid’ahkan mana-mana orang lain yang membacakan talqin kepada mayat
b) memegang, mengamal atau mengajarkan bahawa bacaan talqin kepada mayat adalah dilarang
c) menyiar, menyebar, menghebahkan atau mendedahkan dengan apa-apa cara pun bahawa bacaan talqin kepada mayat adalah dilarang.

4. Mana-mana orang Islam adalah dilarang menjadi anggota, pemimpin atau penyokong mana-mana orang atau kumpulan orang yang dilarang di dalam perenggan 3.




2. Kategori : Akidah
Tajuk :
Ajaran Pak Chu Bahrin
Isu :
Fatwa :


1. Mana –mana orang atau kumpulan orang yang berpegang kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku-buku dan risalah berikut :

a) Qamar Al-Huda
b) Nukilan Ahli Sufi Allahu Akbar Encik Bahrin bin Salleh
c) Risalah Kesufian – Anjuran Baharin Salleh
d) Sebaik-baik makrifah yang dipertunjukkan bagi ahli.


(selepas ini disebut secara kolektif sebagai “buku-buku dan risalah tersebut”) adalah menyalahi akidah Islam dan menyesatkan.







3. Kategori : Akidah
Tajuk :
Pindaan Fatwa Tentang Ajaran Ahmadiah/qadiani
Isu :
Fatwa :


“2A. Memandangkan mana-mana orang yang telah menganuti ajaran Qadiani telah menjadi murtad (keluar dari Agama Islam),akibatnya dari segi Hukum syara’ dan Undang-Undang Sivil ialah :-

(a) Perkahwinan orang tersebut boleh dibubarkan dengan pengesahan Mahkamah Syariah mengikut seksyen 46 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 1984;

(b) Orang tersebut tidak boleh menjadi wali dalam akad nikah anak perempuannya;

(c) Orang tersebut tidak boleh mewarisi harta peninggalan kerabat kerabat Muslimnya; dan

(d) Orang tersebut tidak berhak untuk mendapatkan apa-apa keistimewaan yang diperuntukkan kepada orang Melayu di bawah Perlembangaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan sekiranya hak-hak tersebut telah diberi, dinikmati atau diperolehi oleh orang tersebut, ia hendaklah terhenti dari berkuatkuasa dan bolehlah dilucut, ditarik balik dan dibatalkan, mengikut ,mana berkenaan, oleh pihak berkuasa yang berkaitan.



5. Kategori : Akidah
Tajuk :
Fatwa Tentang Ajaran Zamree Bin Ab. Wahab
Isu :
Fatwa :


Pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh subseksyen 31(1) dan seksyen 32 Enakmen Pentadbiran Agama Perundangan Islam 1989, Mufti bagi Negeri Selangor, selepas berbincang dengan Jawatankuasa Perunding Hukum Syara', membuat fatwa seperti yang dinyatakan dalam jadual.

Jadual

(1) Ajaran Zamree bin Ab. Wahab adalah menyeleweng daripada ajaran
Islam yang sebenar. Ini adalah kerana ajaran tersebut didapati:

(a) Mendakwa boleh menunaikan Haji hanya dengan mengerjakannya
di Sungai Congkak, Hulu Langat sahaja;

(b) Mendakwa dirinya sebagai Rasulullah;

(c) Menukar nama pengikutnya dengan nama sahabat-sahabat bagi
lelaki dan dengan nama isteri-isteri Nabi bagi pengikut
wanita; dan

(d) Mengamalkan nikah batin dengan 6 orang termasuk pelajar dan
seorang pegawainya.

Oleh yang demikian, umat Islam dilarang mengamalkan ajaran
itu.

(2) Orang yang telah mengambil ijazah atau mengamalkan ajaran
Zamree bin Ab. Wahab hendaklah segera bertaubat dan memohon
keampunan kepada ALLAH Subhanahu Wata'alla.





6. Kategori : Akidah
Tajuk :
Fatwa Tentang Ajaran Haji Banuar Bin Roslan
Isu :
Fatwa :


(1) Ajaran Haji Banuar bin Roslan didapati menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar. Ini adalah kerana ajaran tersebut didapati :

(a) Mencampuradukkan antara amalan kebatinan dengan agama untuk menarik perhatian seperti ilmu sihir;

(b) Haji Banuar bin Roslan mendakwa tidak perlu sembahyang Jumaat jika ada urusan yang lebih penting dan semua sembahyang fardhu boleh dijamakkan.

(c) Haji Banuar bin Roslan mengaku telah menerima Ilmu Laduni terus dari Allah di Kaabah semasa mengerjakan haji; dan

(d) Mengeksploitasikan agama untuk kepentingan peribadi seperti menggunakan kuasa sihit-seluruh pengikut diminta patuh dan mengeluarkan harta benda seperti wang ringgit kepada guru sebagai satu pengorbanan.

Oleh yang demikian, umat Islam dilarang mengamalkan ajaran itu.

(2) Orang yang telah mengambil ijazah atau mengamalkan ajaran Haji Banuar bin Roslan hendaklah segera bertaubat dan memohon keampunan kepada ALLAH Subhanahu Wata’alla.





7. Kategori : Akidah
Tajuk :
Fatwa Tentang Tarikat Samaniah Ibrahim Bonjol
Isu :
Fatwa :


1. Ajaran dan amalan Tarikat Samaniah Ibrahim Bonjol didapati
menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar. Oleh yang demikian,
orang-orang Islam adalah dilarang mengamalkan ajaran itu.

2. Orang-orang Islam yang telah mengambil ijazah dan mengamalkan
Tarikat Samaniah Ibrahim Bonjol di mana-mana jua berada hendaklah
segera bertaubat serta memohon keampunan kepada ALLAH
Subhanahu Wata’alla.

Antara ciri-ciri ajaran itu:
a. Sebelum seseorang murid diterima menjadi ahli, wajib mandi
dengan air limau/bidara untuk membersihkan dosa.

b. Bersedekah dan menghormati guru adalah menjadi satu
kewajipan bagi murid-muridnya. Di samping itu murid-murid
digalakkan membuat kebajikan dan memberi bantuan kepada
guru.

c. Kitab Thabitul Qulub yang dijadikan kitab asas kepada tarikat
berkenaan, didapati banyak yang bertentangan dengan pegangan
umat Islam. Setiap orang yang belajar tarikat berkenaan diberikan
buku tersebut dengan bayaran RM25.OO.

d. Wirid-wirid dalam tarikat ini dikumpul di dalam buku Baitul
lbadah yang mengandungi zikir-zikir yang disusun berdasarkan
kepada ayat-ayat al-Quran, selawat, istighfar dan doa.

e. Terdapat 26 adat kesopanan murid kepada guru. Antaranya tidak
boleh murid berkahwin dengan isteri guru yang diceraikan atau
ditinggalkan mati.

f. Jika seseorang mati ketika berulang-alik ke tempat belajarnya
untuk mempelajari tarikat berkenaan maka Tuhan sendiri yang
akan mencabutkan nyawanya itu.

g. Sembahyang boleh dilakukan dengan niat sahaja (Sembahyang
batin) atau boleh ditinggalkan semasa dalam kesibukan kemudian
diqada’.

h. Nikah boleh dilakukan tanpa wali dan saksi (Nikah batin.

i. Sembahyang fardhu diabaikan atau ditinggalkan kerana cukup
dengan niat di hati.

j. Orang-orang yang belum masuk tarikat ini dianggap belum
sempurna Islam mereka. Mereka diajak untuk diIslamkan oleh
guru atau wakil tarikat ini.

k. Jika sudah masuk tarikat ini tidak perlu lagi pengajian ilmu-ilmu syariat.

l. Ajaran-ajaran dalam tarikat ini dirahsiakan daripada bukan
pengikut. Tarikat ini juga disebut sebagai Ilmu Sirr (Rahsia).

m. Murid mesti patuh sepenuhnya kepada guru zahir dan batin, jika
guru menyatakan jodoh seseorang pengikut itu dengan seorang
yang lain maka ia perlu dipatuhi.

n. Syeikh Ibrahim Bonjol guru tarikat ini mendakwa mempunyai
“Mukjizat” iaitu dengan mengeluarkan air dari tangannya.

o. Pergaulan bebas antara bukan muhrim dibolehkan antara ahli
jika dengan niat yang ikhlas.
p. Al-Quran dianggap sebagai sejarah     sahaja.




9. Kategori : Akidah
Tajuk :
Fatwa Tentang Ajaran Syed Muhamad Al-masyhor
Isu :
Fatwa :


1. Ajaran dan amalan Syed Muhamad al-Masyhor (Tarikatul Islam Muhamad S.A.W. Habibullah al-Hashimi) didapati menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar. Oleh yang demikian, orang-orang Islam adalah dilarang mengamalkan ajaran itu.

2. Orang-orang Islam yang telah mengambil ijazah dan mengamalkan
ajaran Syed Muhamad al-Masyhor (Tarikatul Islam Muhamad S.A.W. Habibullah al-Hashimi) di mana-mana berada hendaklah segera bertaubat serta memohon keampunan kepada ALLAH Subhanabu Wata’ala.

Antara ciri-ciri ajaran itu:
(a) Mengaku diri sebagai Rasul.

(b) Mendakwa boleh memberi syafaat kepada pengikut yang
melakukan kesalahan.

(c) Pada hakikatnya Rasul (Syed Muhamad al-Masyhor) pengganti
Rasulullah itu telah bercantum dengan Allah. Kata-kata dan
gerak-gerinya adalah Allah sendiri.

(d) Mendakwa al-Quran yang sebenar ialah Nur Hakim.

(e) Mengamal nikah batin.

(f) Pengikut ditegah bernikah dengan orang luar.

(g) Menegah berkahwin dengan bukan ahli.

(h) Pengikut ajaran ini dijamin masuk syurga.

(i) Menyalah tafsirkan ayat al-Quran.

(j) Menerbitkan buku bertajuk “Mengikut Jejak Rasulullah S.A.W.”





10. Kategori : Akidah
Tajuk :
Fatwa Tentang Ajaran Tijah @ Khatijah Bt. Ali
Isu :
Fatwa :


1. Ajaran dan amalan Tijah @ Khatijah bt. Ali didapati menyeleweng
daripada ajaran Islam yang sebenar. Oleh yang demikian, orang-orang
Islam adalah dilarang mengamalkan ajaran itu.

2. Orang-orang Islam yang telah mengambil ijazah dan mengamalkan
Ajaran Tijah @ Khatijah bt. Ali di mana-mana jua berada hendaklah
segera bertaubat serta memohon keampunan kepada ALLAH
Subhanahu Wata’alla.

Antara ciri-ciri ajaran itu:
(a) Membawa ajaran Wahdatul Wujuh dan Martabat Tujuh.

(b) Menganggap ungkapan tokoh tasawuf sebagai hadis.

(c) Membawa konsep Nur Muhammad.

(d) Berzikir tidak sedarkan diri.

(e) Sesiapa yang menangis dalam solat dianggap syirik kerana yang
wujud ialah Ahmad.

(f) Mendakwa roh serupa dengan manusia, berwarna putih tetapi
tidak mempunyai rongga yang bernama Ahmad.

(g) Mengunakan kitab yang mengelirukan untuk pengajian.

(h) Menambah Saidatina Fatimah bt. Rasulullah dalam Dua Kalimah
Syahadah.

(i) Mendakwa rahsia manusia di antara huruf Alif dan Ya.

(j) Menghuraikan pecahan kalimah Lailahaillallah.

(k) Memberi tafsiran mengelirukan mengenal Israk dan Mikraj.

(l) Menyatukan watak Allah, Malaikat, Adam dan Iblis sebagai
Allah mengikut keadaan.





12. Kategori : Akidah
Tajuk :
Fatwa Tentang Tarikat Zikrullah Hasan Anak Rimau Dan Ayah Pin
Isu :
Fatwa :


(1) Ajaran Tarikat Zikrullah Hasan Anak Rimau dan Ayah Pin didapati menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar. Oleh yang demikian, umat Islam dilarang mengamalkan ajaran itu.

(2) Orang-orang Islam, di mana-mana jua berada, yang telah mengambil ijazah dan mengamalkan ajaran Tarikat Zikrullah Hasan Anak Rimau dan Ayah Pin hendaklah meninggalkan ajaran itu dan segera bertaubat serta memohon keampunan kepada ALLAH Subhanahu Wata’alla.




13. Kategori : Akidah
Tajuk :
Fatwa Mengenai Penulisan Astora Jabat(berkenaan Azab Kubur)
Isu :
Fatwa yang dinyatakan dalam Jadual telah dibuat oleh Sahibus Samahah Mufti Negeri Perak Darul Ridzuan,menurut Subseksen 34(1)Enekmen Pentadbiran Agama Islam 1992(En.Bil 2 Tahun 1992),selepas dibincangkan dengan Jawatankuasa Syariah Negeri Perak Darul Ridzuan menurut subseksyen 37(4)Enekmen itu pada 23 Syawal 1424 bersamaan dengan 17 Desember 2003,dan adalah disiarkan atas titah perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan menurut Subseksen 34(2)Enekmen itu.

Fatwa :


Bahawa menolak kepercayaan azab kubur setelah wujud keterangan dari Al-Quran dan Al-Hadith serta Ijma' Ulama adalah terkeluar daripada ajaran Islam yang sebenar dan oleh itu orang Islam adalah dilarang mengamalkan ajaran itu.





14. Kategori : Akidah
Tajuk :
Ajaran Cahaya Qursani
Isu :
Keputusan :


Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang bersidang pada 6 November 2008M bersamaan 8 Zulkaedah 1429H kali 179 memutuskan bahawa : ”Amalan dan kepercayaan dalam ajaran Cahaya Qursani adalah sesat dan menyeleweng dari Ajaran Islam yang sebenar. Umat Islam diharamkan untuk beramal dan beriktikad dengan kepercayaan tersebut. Sesiapa sahaja yang mengamalkan dan beriktikad dengan ajaran ini adalah melakukan kesalahan dan boleh didakwa di bawah Enakmen Jenayah Syariah Negeri Perak. Oleh itu mana-mana pengikut dan orang Islam yang mengamalkan dan beriktikad seperti itu adalah sesat dan wajib bertaubat.”





15. Kategori : Akidah
Tajuk :
Hukum Menyerupai / Merayakan Perayaan Orang Kafir
Isu :
KeputusanKEPUTUSAN JAWATANKUASA SYARIAH

Mesyuarat Jawatankuasa Syariah Negeri Perak yang bersidang pada 19 Muharam 1425 bersamaan 11 Mac 2004 buat kali ke 162 telah membuat keputusan bahawa merayakan /menyerupai perayaan orang kafir adalah haram.





16. Kategori : Akidah
Tajuk :
Penggunaan kalimah Allah Hanya Merujuk Kepada Tuhan Yang Maha Esa Dalam Agama Islam Sahaja
Isu :
3. LATAR BELAKANG
3.1 Isu ini timbul akibat permohonan Titular Roman Catolic Church of Kuala Lumpur menuntut Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta mengkaji semula keputusan kabinet yang bertarikh 16 Mei 1986 yang melarang penggunaan Kalimah Allah oleh bukan Islam dalam penerbitan ‘Herald-The Catholic Weekly’. Mereka juga memohon deklarasi mengisytiharkan perkataan Allah bukan milik khusus bagi orang Islam.
3.2 Kabinet juga telah memutuskan bahawa empat istilah Islam tidak boleh digunakan dalam Bible, dalam apa jua keadaan iaitu Allah, Kaabah, Baitullah dan Solat.
3.3 Para ulama’ berbeza pandangan mengenai wajar atau tidak membenarkan atau melarang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Muslim.(Sila Rujuk Lampiran 1)


4. ASAS-ASAS PERTIMBANGAN
4.1. Penggunaan kalimah Allah kepada umat Kristian atau bangsa-bangsa yang lain adalah tidak bertepatan dan selari dengan prinsip-prinsip al-Quran, al-Sunnah dan Ijma’ kerana agama yang benar di sisi Allah hanyalah agama Islam. Firman Allah dalam Surah Ali ‘Imran ayat : إن الدين عند الله الإسلام yang bermaksud : Sesungguhnya agama di sisi Allah adalah agama Islam
4.2. Pandangan yang membenarkan penggunaan kalimah Allah kepada bukan Muslim atas tujuan maslahat dakwah Islamiyah tidak dapat diterima kerana banyak lagi kaedah atau cara lain yang boleh digunakan untuk tujuan maslahat dakwah selain daripada penggunaan kalimah Allah oleh Non Muslim.
4.3. Roh Kalimah Allah bukan sekadar menjadi sebutan atau seruan atau panggilan bagi tuhan semata-mata tetapi melambangkan aqidah atau agama bagi orang yang menggunakannya.
4.4. Memberi kelonggaran kepada non Muslim menggunakan kalimah Allah akan menimbulkan salahfaham di kalangan umat Islam. Hasilnya akan ada umat Islam akan menyangka ‘Allah’ di dalam agama-agama yang lain adalah sama dalam agama Islam.
4.5. Akan menyemarakkan lagi api Pluralisme dan Liberalisme Beragama di kalangan masyarakat di Malaysia.
4.6. Perkara ini adalah atas asas Siasah Syari’ah yang merupakan peluang bagi pemerintah Islam di negara Islam yang mempunyai kuasa untuk menjaga akidah Ummat daripada sebarang ancaman.
5. KESAN-KESAN PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH OLEH BUKAN MUSLIM
1. Berpotensi menjejaskan akidah dan pemikiran umat Islam yang kebanyakan kurang mantap.
2. Berpotensi menimbulkan salah faham kepada umat Islam dan umat-umat yang lain.
3. Boleh menimbulkan rasa tidak senang dan suasana tidak sihat di kalangan umat Islam dan orang bukan Islam.
4. Boleh mengancam keselamatan, keamanan dan keharmonian masyarakat awam dan komuniti Islam.
5. Boleh menyemarakkan lagi fahaman Pluralisme dan Liberalisme di kalangan masyarakat di negara ini.
6. Membantu menyemarakkan lagi penyebaran fahaman salah oleh pendakyah Kristian atau pendakyah agama-agama yang lain.

KEPUTUSAN

“Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang telah bersidang buat kali 178 pada 17 Julai 2008 bersamaan 14 Rejab 1429 bersetuju untuk mewartakan perkara berikut:

a) Penggunaan Kalimah Allah hanya dikhususkan kepada umat Islam
b) Mana-mana penganut selain daripada penganut agama Islam adalah dilarang daripada menggunakan Kalimah Allah untuk sebarang tujuan atau maksud
c) Orang-orang yang bukan beragama Islam adalah dilarang daripada menggunakan kalimah Allah dalam apa jua penerbitan, penyiaran dan penyebaran apa-apa buku, risalah, filem, video dan sebagainya.











17. Kategori : Akidah
Tajuk :
Kedudukan Ajaran Ilmu Hakikat Hassan Bin Jonit
Isu :
Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh subseksyen 34(1)Enekmen pentadbiran Agama Islam 1992(En.2/92) dan dibaca bersama seksyen37.
Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan setelah berbincang dengan Ahli Jawatankuasa Syariah Negeri Perak Darul Ridzuan pada 15 Syaaban 1423 bersamaan 22 Oktober 2002 dan atas titah perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan mengisytiharkan Fatwa seperti yang dinyatakan dalam Jadual.

FATWA :


“ Bersama ajaran dan amalan Ilmu Hakikat Hassan Bin Jonit adalah sesat dan terkeluar dari ajaran Islam yang sebenar dan oleh itu orang-orang Islam adalah dilarang mengamalkan ajaran itu.”
No. 474

Berhubung dengan pemberitahuan No. 316 yang disiarkan dalam Warta Kerajaan Negeri Perak pada 8 mei 2003 gantikan Jadual dengan Jadual berikut :

“ Bahawa ajaran dan amalan Ilmu Hakikat Hassan Bin Jonit adalah sesat dan terkeluar dari ajaran islam yang sebenar dan oleh itu orang-orang Islam adalah dilarang mengamalkan ajaran itu.”




18. Kategori : Akidah
Tajuk :
Fatwa Mengenai Kedudukan Ajaran Islam Jamaah.
Isu :
Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh subseksyen 34 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam 1992 [En.2/92], dan dibaca bersama seksyen 37, Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan setelah berbincang dengan Jawatankuasa Syariah Negeri Perak Darul Ridzuan pada 26 Safar 1423 bersamaan 9 Mei 2002 dan atas titah perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan mengisytiharkan Fatwa seperti yang dinyatakan dalam Jadual.

FATWA

“ Bahawa ajaran dan amalan Islam Jamaah adalah sesat dan terkeluar dari ajaran Islam yang sebenar dan oleh itu orang-orang Islam adalah dilarang mengamalkan ajaran itu.”







19. Kategori : Akidah
Tajuk :
Pengharaman Mengenai Ajaran Azhar Bin Wahab(pengasas Al-mansor Holding Sdn. Bhd.
Isu :
Fatwa yang dinyatakan dalam Jadual telah dibuat oleh Sahibus Samahah Mufti Negeri Perak Darul Ridzuan,menurut Subseksen 34(1)Enekmen Pentadbiran Agama Islam 1992(En.Bil 2 Tahun 1992),selepas dibincangkan dengan Jawatankuasa Syariah Negeri Perak Darul Ridzuan menurut subseksyen 37(4) Enekmen itu pada 19 Muharram 1425 bersamaan dengan 11 Mac 2004,dan adalah disiarkan atas titah perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan menurut Subseksen 34(2).

FATWA

Bahawa-
1. Ajaran Azhar bin Wahab didapati bertentangan dengan fahaman Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.
2. Bahawa mana-mana kumpulan atau orang perseorangan yang berpegang dan mengamalkan ajaran Azhar bin Wahab dianggap menyalahi hukum syarak dan wajib bertaubat.
http://ho.lazada.com.my/SHEKdp

Popular Posts