Wednesday, September 15, 2010

Alat Kesan Bahan Pengawet

Alat kesan bahan pengawet







Pernahkah kita sebagai pengguna terfikir kenapa ikan, udang dan sotong yang dijual di pasar mahu pun di sesetengah restoran sentiasa kelihatan segar?
Sememangnya kemajuan sains telah membawa kepada wujudnya ciptaan pelbagai kemudahan dan sistem atau kaedah membolehkan kita menyimpan makanan laut supaya kekal segar seperti memasukkannya dalam peti ais.
Malangnya ada pula peniaga yang tidak bertanggungjawab menggunakan cecair pengawetan mayat, iaitu campuran formaldehid yang digunakan untuk memelihara mayat daripada menjadi reput.
Ini adalah suatu cara yang bukan saja menjijikkan tetapi boleh membahayakan kerana bahan itu toksik, alergenik dan karsinogenik iaitu ia boleh membawa kepada penyakit barah jika termakan.
Makanan laut secara semula jadi memang mengeluarkan formaldehid tetapi pada tahap yang amat rendah dan tidak membahayakan.
Dalam usaha memastikan pengguna tidak ditipu hingga boleh memudaratkan kesihatan, sekumpulan saintis dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diketuai Prof. Dr. Lee Yook Heng telah menghasilkan satu cara mudah, murah lagi cepat untuk menguji sama ada makanan laut mengandungi bahan pengawet formaldehid atau sebaliknya.
Akta Makanan 1985 sememangnya melarang penggunaan formaldehid sebagai bahan pengawet dan ia merupakan salah satu bahan pengawet yang tidak dibenarkan untuk makanan.
Dr. Yook Heng menjelaskan, Kementerian Kesihatan mengambil contoh makanan laut yang diimport untuk menguji sama ada ia mengandungi bahan berbahaya itu atau sebaliknya.
Bagaimanapun hasil ujian di makmal itu hanya dapat diketahui dalam tempoh beberapa hari.
Dalam tempoh itu makanan tersebut mungkin sudah pun dijual kepada pengguna. Dalam keadaan begini syarikat atau penjual terbabit hanya boleh disenarai hitamkan.
Selain itu, ujian di makmal memerlukan peralatan yang mahal dan kakitangan terlatih.
Maka, dalam usaha menyediakan kaedah ujian yang boleh digunakan dengan mudah, penyelidik terbabit termasuk lima orang profesor sejak 2001 telah berusaha mencari jalan untuk menguji menggunakan enzim, DNA, antibodi dan sel-sel keseluruhan yang boleh digunakan sebagai alat ujian dan boleh dijual di pasaran pada harga yang murah.
Salah satu daripadanya ialah biosensor terdiri daripada enzim yang hanya akan berinteraksi dengan formaldehid dan tidak dengan bahan lain.
Alat itu sudah berjaya dihasilkan dengan saiz hanya sebesar duit siling 50 sen.
Cara menggunakannya amat mudah dengan mengambil setitis air dari ikan atau udang yang hendak diuji dan diletakkan keatas alat itu.
Pertukaran warna yang berlaku bermakna ia mengandungi formaldehid.
Beliau menjelaskan, UKM sudah mempatenkan ciptaan mereka itu dan kini berusaha untuk mengedarkannya supaya dapat di gunakan oleh penjual ikan dan makanan laut, pegawai kesihatan malah pengguna.

Utusan Online

No comments:

Post a Comment

Hantar Aduan Muslim Disini

http://ho.lazada.com.my/SHEKdp

Popular Posts