Ambil kisah logo Halal
Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
afzan@bharian.com.my
2010/08/05
Elak tertipu, amalan berpuasa jadi sia-sia RAMADAN, bulan yang penuh kemuliaan, keberkatan dan sering kali dinantikan umat Islam untuk melipatgandakan amalan serta bermunajat kepada Allah. Walaupun Ramadan digalakkan berbuka secara sederhana dan tidak berlebihan, namun ia tetap menjadi bulan ditunggu pelbagai pihak khususnya hotel, restoran dan premis perniagaan mempromosikan juadah berbuka puasa.
Dengan pelbagai promosi yang dicanang itu, umat Islam juga perlu lebih berhati-hati dan tidak mudah teruja dengan tawaran disediakan sehingga mengetepikan aspek halal supaya ibadat seharian berpuasa menahan lapar, dahaga serta adat sopan lain tidak menjadi sia-sia.
Bagi premis perniagaan itu, memang ada antara mereka yang tidak memenuhi aspek halal, dengan sebilangan menggunakan logo halal palsu untuk mengabui mata masyarakat.
Dengan pindaan Akta Perihal Dagangan 1972 yang akan dibentangkan di Parlimen, Oktober depan, antara lain akan memberi perhatian terhadap hukuman dua atau tiga kali ganda hukuman lebih berat ke atas pengusaha yang gagal mematuhi sijil halal.
Usaha berkenaan, membuktikan status halal dan logo yang digunakan pada produk serta diberikan kepada premis perniagaan adalah usaha positif untuk memelihara kebajikan umat Islam dan pada masa sama mengelakkan pihak tidak bertanggung jawabmempergunakan logo berkenaan sesuka hati.
Bukan sekali dua berita pemalsuan logo halal dibongkar, malah selalunya mencetuskan perasaan marah pengguna apabila di tipu. Perbuatan khianat serta tidak bertanggungjawab itu menyebabkan tindakan tegas perlu diambil.
Alasan mengatakan sukar memohon logo halal, tidak masuk akal, sebaliknya kalau premis atau produk menepati syarat ditetapkan, maka ia mudah diperoleh. Begitupun apabila mendapat logo halal, premis serta pengusaha produk perlu mematuhi garis panduan halal bukannya boleh sesuka hati mencampurkan bahan tidak halal di dalamnya, kerana pemberian sah halal itu, mungkin akan ditarik balik.
Malah, baru-baru ini Hotel Grand Season, di ibu kota ditarikbalik status halal dipegangnya akibat melanggar piawai ditetapkan.
Pengarah Hub Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Saimah Mukhtar, berkata sejak isu hanya JAKIM boleh mengeluarkan logo Halal, pada 8 Julai 2009, sebanyak sebanyak 2,297 permohonan membabitkan produk dan 375 premis makanan dipohon.
Sementara itu, berdasarkan permohonan sebanyak 1,599 produk disahkan halal manakala 78 premis makanan disahkan halal.
“Malah, sebanyak lapan premis atau syarikat dan 12 premis atau syarikat, tahun ini ditarik balik sijil halal. Penarikan balik itu berlaku disebabkan kebanyakan pihak industri tidak dapat mematuhi standard ditetapkan. Walaupun logo halal ditarik balik, tetapi premis atau syarikat itu boleh memohon semula selepas enam bulan dikenakan tindakan sama ada digantung atau ditarik balik,” katanya mengulas status halal.
Ciri-ciri halal adalah jelas, tetapi ia dirumitkan oleh pihak tidak mahu memohon halal atau memang sebenarnya produk ditawarkan tidak halal.
Saimah berkata, ciri-ciri halal ialah setiap pengeluar produk atau premis makanan atau rumah sembelih hendaklah mengeluarkan produk halal saja. Setiap syarikat yang memohon sijil pengesahan halal hendaklah memastikan sumber bahan ramuan adalah halal dan memilih pembekal atau sub-kontraktor membekalkan bahan halal atau mempunyai Sijil Pengesahan Halal.
“Setiap syarikat hendaklah memastikan prosedur halal dipatuhi dalam segala aspek seperti digariskan di dalam Manual Prosedur Halal Malaysia. Syarikat yang disenaraikan dalam kategori Multinasional dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) adalah wajib mewujudkan Jawatankuasa Audit Dalaman dan melantik seorang Eksekutif Hal Ehwal Islam (Pengajian Islam) bagi mengendali dan memastikan pematuhan prosedur pensijilan halal,” katanya yang menyatakan pengusaha makanan Islam bukan jaminan mereka menjual produk halal, sekiranya sumber mentahnya daripada bahan tidak halal.
Mengulas lanjut, premis disyaratkan mempunyai dua pekerja Muslim tetap dan rakyat tempatan di bahagian dapur atau pengendalian atau pemerosesan makanan.
Ketika penyediaan, pengendalian atau pemerosesan, pembungkusan atau pemindahan produk, hendaklah dalam keadaan bersih atau tidak mengandungi bahan ramuan yang tidak halal mengikut hukum syarak.
“Penggunaan peralatan atau kemudahan dalam premis hendaklah bersih dan bebas dari dicemari najis mengikut hukum syarak atau mana yang memudaratkan kesihatan, selain pengangkutan digunakan hendaklah untuk produk halal saja.
“Kebersihan peralatan, pengangkutan, kawasan pengeluaran dan persekitaran amat dititikberatkan dan syarikat hendaklah mengamalkan amalan pengilangan yang baik, selain mengamalkan kod etika dan amalan kesihatan baik,” katanya.
Ditanya mengenai kemungkinan premis tidak menjual alkohol, mendapat logo halal, katanya, ia tidak semestinya berlaku kerana premis atau pemohon hendaklah mengikut standard dan piawaian ditetapkan JAKIM.
Begitu juga mengenai kedai makan yang mempunyai kandungan alkohol sebagai bahan pengawet, katanya, premis atau kedai yang mempunyai kandungan alkohol sebagai bahan pengawet tidak akan mendapat sijil halal Malaysia.
“Mungkin segelintir khuatir, contohnya kedai makan A mendapat logo halal tetapi, bahan mentah diambil daripada sumber bukan halal. Tetapi apabila sesebuah premis menjadi pemegang sijil halal Malaysia, perkara seperti itu tidak akan berlaku kerana setiap syarikat yang memohon sijil pengesahan halal perlu memastikan sumber bahan ramuan adalah halal dan memilih pembekal atau sub-kontraktor yang membekalkan bahan halal dan mempunyai Sijil Pengesahan Halal yang diiktiraf.
“Sekiranya mereka tidak mematuhi standard dan piawaian yang ditetapkan, pihak JAKIM atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) berhak menarik balik sijil pengesahan halal berkenaan,” katanya yang menyatakan premis itu bagaimanapun boleh memohon kembali pengesahan halal sekiranya berjanji terus mematuhi piawaian ditetapkan.
Tegasnya, setakat ini, JAKIM tidak mempunyai sebarang kerenah untuk mendapatkan sijil halal, tetapi masalah berlaku apabila, kebanyakan pihak industri tidak patuh kepada standard yang ditetapkan, menyebabkan JAKIM semakin tegas dalam hal ini.
“Permohonan sijil halal tertakluk kepada MS1500:2009 Makanan Halal-Pengeluaran, Penyediaan, Pengendalian dan Penyimpanan - garis panduan umum (semakan kedua) dan MS 2200:Bahagian 1:2008 Barang Gunaan Islam - Bahagian 1: Kosmetik dan dandanan diri - Garis Panduan Umum serta Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia,” katanya.
Logo halal lain
SEDANG membeli produk makanan, mungkin anda perasan ada produk bertanda halal tetapi bukan keluaran JAKIM? Saiman berkata, pengguna jangan panik dan berkata tidak untuk terus membeli produk berkenaan.
“Kerajaan hanya melantik JAKIM atau JAIN sebagai badan tunggal menguruskan pensijilan halal dalam dan luar negara. Berhubung dengan pembekal makanan halal luar negara pula, JAKIM menjalankan kerjasama dengan Badan Pensijilan Halal Luar Negara ke arah menjadikan Halal Malaysia sebagai penanda aras pensijilan halal antarabangsa.
“Setakat ini JAKIM melantik sebanyak 48 badan Islam dari 23 negara.
Sehubungan itu, JAKIM mensyaratkan supaya mana-mana syarikat luar negara yang mendapat Sijil Pengesahan Halal Malaysia menubuhkan Jawatankuasa Halal Dalaman sebagai pemantau untuk memastikan syarikat berkenaan, mengikut standard dan piawaian ditentukan.
“Untuk mendapatkan senarai nama Badan Pensijilan Halal luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM boleh di dapati melalui www.halal.gov.my,” katanya.
Sempena kedatangan Ramadan, Saiman berkata, JAKIM menasihatkan orang ramai terutama umat Islam supaya bijak memilih restoran atau hotel yang mendapat pengesahan Sijil Halal Malaysia bagi mengadakan sebarang aktiviti atau juadah berbuka puasa saja dan jangan sesekali terpengaruh dengan pakej atau harga ditawarkan.
INFO
Prosedur Permohonan
Pemohon layak memohon Sijil Pengesahan Halal dikategorikan seperti berikut:
* pengeluar/ pengilang produk
* pengedar/penjual
* pengeluar sub-kontrak
* pembungkusan semula
* premis makanan dan
* rumah sembelih
(Permohonan Sijil Pengesahan Halal bagi pasaran di peringkat nasional dan antarabangsa hendaklah memohon secara terus kepada Hab Halal, JAKIM melalui permohonan secara dalam talian. Permohonan Sijil Pengesahan Halal bagi pasaran di peringkat pasaran tempatan, permohonan hendaklah dipohon terus kepada JAIN/MAIN mana berkenaan).
Permohonan akan ditolak meliputi perkara berikut:
* Syarikat yang mengeluar dan mengedar produk halal dan tidak halal;
* Produk yang tidak halal;
* Bahan semula jadi yang tidak membabitkan sebarang pemerosesan;
* Ubat-ubatan atau produk yang dikategorikan sebagai keluaran farmaseutikal oleh Kementerian Kesihatan Malaysia ;
* Pewarna rambut;
* Produk siap diproses yang dikeluarkan di luar negara;
* Produk yang menggunakan nama yang sinonim dengan istilah yang mengelirukan seperti bak kut teh dan sebagainya;
* Baja dan makanan binatang;
Pemohon perlu mengisi borang yang bersesuaian:
* Produk / Barangan Gunaan
* Premis Makanan
* Rumah Sembelihan
Borang permohonan hendaklah lengkap diisi secara dalam talian dengan mengemukakan butiran-butiran seperti yang dikehendaki di dalam borang dan menyertakan sijil berkaitan, seperti berikut:
* Profil syarikat;
* Pendaftaran syarikat/perniagaan;
* Nama dan keterangan produk / menu untuk disahkan;
* Bahan ramuan yang digunakan;
* Nama dan alamat pengeluar / pembekal ramuan;
* Status halal bahan ramuan beserta sijil halal atau spesifikasi produk bagi bahan ramuan kritikal (jika berkaitan);
* Jenis bahan pembungkusan;
* Proses dan prosedur pengeluaran;
* Lain-lain dokumen seperti HACCP, ISO, GHP, GMP, TQM dan sebagainya (Jika ada); dan
* Peta lokasi premis / kilang.
Pemohon hendaklah menyediakan fail khas ‘Sijil Pengesahan Halal’ untuk menyimpan dokumen berkaitan dan boleh dirujuk apabila pemeriksaan dijalankan ke atas premis itu.
No comments:
Post a Comment
Hantar Aduan Muslim Disini